PETALING JAYA: Mekanisme pemantauan integriti perlu dilaksanakan secara berjadual dan berkala bagi memastikan tadbir urus serta pematuhan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid berkata, prinsip ketegasan terhadap sebarang kewujudan salah laku anggota penguat kuasa perlu menjadi pegangan utama semua ketua jabatan.
Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, semua kes salah laku telah diambil tindakan tanpa kompromi.
Beliau berkata, pendekatan berteraskan ketelusan, akauntabiliti dan disiplin adalah asas dalam memastikan kepercayaan awam terhadap institusi terus terpelihara.
“Semasa saya menjadi Ketua Pengarah, semua kes kita ambil tindakan. Mesyuarat pemantauan integriti dibuat secara berjadual dan berkala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, hampir 80 peratus aduan salah laku anggota penguat kuasa termasuk berkaitan isu integriti tidak diambil tindakan, walaupun telah dirujuk kepada unit tatatertib jabatan terlibat.
Jumlah itu merangkumi 62 daripada 75 kes yang dirujuk oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada jabatan berkaitan dengan mengemukakan syor tindakan tatatertib terhadap penjawat awam terlibat.
Ia melibatkan salah laku, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP), kelewatan mengambil tindakan, pelanggaran peraturan-peraturan pegawai awam, kesalahan jenayah serta penyalahgunaan kuasa pentadbiran dalaman.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah percaya aduan melibatkan salah laku penguat kuasa yang dikemukakan sebelum ini telah diambil tindakan sewajarnya, namun status tindakan berkenaan tidak dimaklumkan kepada EAIC.
Katanya, perkara itu berkemungkinan berpunca daripada kekangan komunikasi antara pihak terlibat, lantas menimbulkan persepsi seolah-olah aduan tidak diberi perhatian.
“Bagi kes salah laku penguat kuasa yang diadukan, saya percaya tindakan telah diambil, cuma statusnya tidak dimaklumkan kepada EAIC,” katanya.
Beliau mencadangkan satu platform komunikasi diwujudkan antara agensi terlibat. bagi memastikan maklumat berkaitan tindakan susulan dapat disampaikan secara telus dan berkesan. – UTUSAN








