PEKAN: Peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini kecewa dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus dan denda lewat 10 peratus jika gagal membuat bayaran sebelum atau pada tujuh hari bulan setiap bulan.
Seorang peniaga bengkel IKS di Pulau Serai, Kampung Pulau Serai, Mat Jid Yaakob, 62, berkata, dia sentiasa berusaha mengekalkan rekod pembayaran yang baik dengan sewaan bulanan gerai sebanyak RM600.
Namun katanya, kekangan tugasan harian menyebabkan ada kalanya bayaran dibuat sedikit lewat walaupun masih dalam bulan yang sama.
“Bagi Januari 2026, saya dikenakan bil semasa sewa RM600 dengan caj SST lapan peratus sebanyak RM48. Dalam bil sama, turut dikenakan tunggakan sewaan RM36 serta caj SST lapan peratus berjumlah RM144, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran RM824.
“Untuk Februari 2026, sewaan gerai RM600 dikenakan SST lapan peratus RM48. Selain itu, terdapat baki sewaan sebelum ini RM48 serta cukai perkhidmatan berjumlah RM192, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran RM888.
“Jumlah tersebut amat besar bagi peniaga kecil yang pendapatannya sekadar mencukupi untuk menampung kos operasi harian,” dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mat Jidi berkat, sektor IKS adalah antara pemangkin ekonomi daerah dan tulang belakang kepada ekonomi setempat, namun tekanan bayaran berlapis boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Katanya, peniaga kecil tidak menolak kewajipan membayar cukai namun pendekatan lebih berperikemanusiaan perlu dipertimbangkan terutama bagi peniaga yang mempunyai rekod pembayaran baik.
Dia berharap Majlis Perbandaran Pekan menilai semula dasar penguatkuasaan sedia ada termasuk mempertimbangkan pengecualian denda dan SST kepada peniaga yang hanya lewat beberapa hari tetapi masih membuat bayaran dalam bulan sama.
“Pendekatan lebih fleksibel bukan sahaja meringankan beban peniaga, malah membantu perniagaan kecil terus bertahan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya. – UTUSAN










