PETALING JAYA: Tiada mana-mana pihak yang ingin mengetahui berkenaan hala tuju MIC dalam Barisan Nasional (BN) kerana fokus seluruh negara pada masa ini adalah isu rumah ibadat.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata demikian ketika ditanya sama ada parti itu sudah membuat keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada penegasan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.
Anwar berkata, di bawah peraturan undang-undang, semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja, kuil atau lain-lain mesti dibangunkan mengikut kelulusan sah tanpa mengira disenangi atau tidak.
“Seluruh negara menumpukan perhatian kepada masalah lain pagi ini, tiada sesiapa mahu bercakap mengenai MIC buat masa sekarang,” kata Saravanan kepada Utusan Malaysıa.
Semalam, akhbar ini melaporkan, MIC belum memutuskan tarikh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi membincangkan hala tujunya sebagai parti komponen BN.
Ahli Jawatankuasa MIC Pusat, Datuk R. T. Rajasekaran berkata, perkara itu belum ditetapkan buat masa ini.
Ini susulan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, Majlis Tertinggi (MT) PN telah bersetuju menerima kemasukan MIC ke dalam PN. – UTUSAN









