PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian merobohkan sebuah kuil di Rawang dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis semalam daripada seorang lelaki warga tempatan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, siasatan mendapati sebahagian kuil berkenaan telah dirobohkan tanpa sebarang perbincangan dan tanpa pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengadu.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana khianat, Seksyen 504 KK atas kesalahan dengan sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 447 KK (pencerobohan jenayah).
“Susulan itu, kami menahan empat warga tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan dan turut merampas sebuah traktor pertanian (backhoe),” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta kekal rasional dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, agama atau mengganggu ketenteraman awam.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil berlandaskan lunas undang-undang,” katanya.- UTUSAN










