Lebih RM62.7 juta nilai rampasan, sindiket e-waste berkeuntungan besar tumpas

Lebih RM62.7 juta nilai rampasan, sindiket e-waste berkeuntungan besar tumpas

ANGGOTA polis memeriksa e-waste yang dirampas pada Op Hazard 3.0 di Klang, Selangor semalam. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Op Hazard 3.0 di Klang dekat sini, semalam melumpuhkan rangkaian sindiket pemprosesan dan penyimpanan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) berorientasikan keuntungan besar bernilai lebih RM62.7 juta.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md. Yusof berkata, kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu dan pihaknya berjaya menahan 17 lelaki termasuk seorang warga tempatan yang bekerja di premis berkenaan.

Katanya, e-waste yang dirampas dibawa masuk ke negara ini menggunakan kontena yang diisytiharkan secara tidak tepat bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.

“Kontena itu juga dipercayai dijadikan medium penyimpanan dan transit sebelum bahan buangan elektronik itu dipindahkan ke gudang untuk tujuan pengasingan serta pemprosesan bagi mendapatkan logam bernilai tinggi.

“Antara logam yang dikenal pasti diperoleh daripada pemprosesan tersebut termasuk tembaga dan aluminium, yang mempunyai nilai pasaran tinggi serta menjadi tarikan utama sindiket menjalankan kegiatan haram itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosli berkata, operasi dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa bagi memastikan tindakan lebih berkesan dan menyeluruh.

Katanya, antara yang terlibat Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Nilai rampasan yang mencecah lebih RM62.7 juta itu membuktikan kewujudan sindiket agresif yang sanggup mengabaikan kesan buruk terhadap alam sekitar serta keselamatan masyarakat.

“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan lanjut serta menjalani siasatan menyeluruh.

“Operasi ini menjadi mesej jelas bahawa polis bersama agensi berkaitan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti jenayah melibatkan pengurusan e-waste haram di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN