GEORGE TOWN : Sebanyak 10 projek pemuliharaan dan naik taraf warisan dijangka direalisasikan di Pulau Pinang selepas menerima peruntukan sebanyak RM4.3 juta daripada Jabatan Warisan Negara.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran berkata, daripada jumlah itu, sembilan projek dianggarkan bernilai RM3.8 juta akan dilaksanakan oleh MBPP manakala baki satu lagi projek di bawah seliaan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Peruntukan yang diberi ini bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih bangunan warisan serta tambah baik ruang awam dijalankan sekali gus memastikan George Town terus kekal sebagai bandar warisan yang memberi manfaat kepada ekonomi dan sosial penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek daripada Jabatan Warisan Negara di Dewan Bandaraya di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zulkifli Long.
Menurut Rajendran, antara projek yang dikenal pasti di bawah seliaan MBPP termasuk pemulihan Menara Jam Peringatan Ratu Victoria, Rumah Agam Syed Al-Attas dan sebuah rumah kedai bersebelahan, Town Hall serta Bangunan Lebuh Pitt (Artisan Hub) di Jalan Masjid Kapitan Keling.
Katanya, turut disenaraikan ialah projek menaik taraf ruang awam seperti sistem penunjuk arah di zon teras dan penampan UNESCO, menaik taraf Green Hall Square, tandas awam Kampung Kolam serta lorong belakang Carnavon Street dan Malay Street.
Rajendran berkata, sejak George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008, MBPP telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi kerja pemulihan, penyelenggaraan dan penambahbaikan di kawasan warisan tersebut.
“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM13.7 juta diperuntukkan bagi memastikan kesinambungan semua projek pemulihan dan penyelenggaraan di tapak UNESCO,” katanya memaklumkan, sebanyak RM13.7 juta turut diperuntuk bagi tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025 untuk tujuan sama.
Sementara itu, Pengurus Besar GTWHI, Ang Ming Chee berkata, GTWHI akan melaksanakan projek mendokumentasi dan merekod lukisan terukur bagi bangunan warisan Kategori II di tapak UNESCO.
“Projek ini bertujuan merekod kira-kira 40 bangunan melalui lukisan terukur oleh arkitek muda supaya sekiranya berlaku sebarang kerosakan, kita mempunyai rujukan untuk kerja-kerja pembinaan semula,” katanya, menjelaskan ketika ini, terdapat 3,771 bangunan warisan Kategori II di kawasan tersebut. – UTUSAN








