PETALING JAYA: Sebanyak RM3.5 juta hangus dalam tempoh sebulan selepas 100 individu menjadi mangsa sindiket penipuan cinta atau ‘love scam’ pada Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, perbandingan angka semasa itu mendedahkan sebanyak 100 kes penipuan cinta direkodkan pada Januari lalu berbanding hanya 95 kes pada Januari 2025.
Menurutnya, namun RM3.5 juta kerugian dicatatkan bagi Januari lalu menunjukkan terdapat penurunan 27 peratus berbanding RM4.9 juta pada tempoh sama tahun 2025.
“Golongan wanita terus menjadi mangsa teramai dalam kes penipuan love scam, membabitkan 60 peratus daripada keseluruhan jumlah kes yang dilaporkan.
“Baki 40 peratus daripada mangsa pula adalah golongan lelaki, menunjukkan kedua-dua jantina terdedah tetapi wanita mencatatkan bilangan lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi turut menyatakan 72 peratus daripada mangsa penipuan love scam terdiri daripada individu berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Katanya, justeru itu orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan tersebut.
“Orang ramai boleh menyemak akaun bank atau nombor telefon orang yang mencurigakan melalui portal Semak Mule, https://semakmule.rmp.gov.my bagi mendapatkan kepastian,” katanya.-UTUSAN










