Ringgit menuju RM3.91 berbanding dolar AS minggu ini

Ringgit menuju RM3.91 berbanding dolar AS minggu ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus kukuh minggu ini dan diunjur menuju RM3.91 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh kelemahan mata wang negara itu serta keyakinan berterusan terhadap asas makroekonomi tempatan.

Semalam, mata wang tempatan dibuka pada 3.9220/9345 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah daripada penutup Selasa, sebelum mengakhiri dagangan pada 3.9160/3.9210.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, prestasi ringgit dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kadar inflasi yang masih terkawal.

“Faktor-faktor ini terus memberikan sokongan kepada prestasi mata wang tempatan.

“Pengukuhan ringgit berlaku dalam persekitaran pasaran global yang berhati-hati, khususnya berikutan ketidaktentuan mengenai hala tuju kadar faedah AS dan jangkaan dasar monetari negara itu.

“Pada masa ini, ringgit diniagakan sekitar RM3.93 hingga RM3.95, iaitu paras terkuat sejak 2018,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan mata wang tempatan ini didorong oleh aliran masuk modal asing, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) serta jurang kadar faedah antara AS dan Malaysia yang semakin mengecil.

“Pada masa ini, ringgit berada dalam julat 3.93 hingga 3.95, menjadikannya paras terkuat sejak 2018, disokong oleh aliran masuk dana, FDI serta jurang kadar faedah AS–Malaysia yang semakin mengecil.

“Pada 28 Januari lalu, ringgit didagangkan pada 3.9160 berbanding dolar AS sebelum melemah sedikit sekitar 3.92 hingga 3.93 pada awal Februari.

“Pergerakan ini menandakan fasa pemulihan ketara mata wang tempatan selepas bertahun-tahun berada dalam tekanan,” katanya.

Jelas beliau, pengukuhan ringgit disokong oleh peningkatan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) mencatat bacaan 50.2 paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan sekali gus menunjukkan pengembangan aktiviti sektor pembuatan.

“Selain itu, aliran masuk FDI yang berterusan turut menyumbang kepada permintaan terhadap ringgit,” katanya.

Barjoyai berkata, perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia yang semakin mengecil sebagai faktor penting, di samping penilaian ringgit yang sebelum ini dianggap dinilai rendah.

“Sentimen politik yang lebih stabil serta prospek ekonomi domestik yang positif turut meningkatkan keyakinan pelabur asing dan institusi.

“Secara keseluruhan, trend ringgit dilihat kekal menaik dengan potensi untuk terus mengukuh sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN