Rapatkan saf, kembali perkukuh Pas Perlis

Rapatkan saf, kembali perkukuh Pas Perlis

AHMAD ADNAN FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas Perlis menyeru semua ahli dan pemimpin di negeri ini melupakan sengketa dan kembali merapatkan saf seterusnya mengukuhkan kembali parti selaras dengan nasihat Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, fokus utama pada masa ini adalah kembali merapatkan ukhuwah dan bersedia ke arah mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau juga menasihatkan seluruh ahli dan pemimpin menghidupkan kembali markas-markas dengan majlis ilmu kerana disitulah bermula titik parti itu di Perlis.

“Di markas kita bermula dan di markas ini juga kita kembalikan kekuatan. Dengan majlis-majlis ilmu di markas ini akan kembali menguatkan ukhwah sesama ahli dan pemimpin. Kita boleh berbeza pandangan, namun kasih sayang tidak boleh tergugat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Abdul Hadi menggesa seluruh ahli Pas di Perlis kekal setia dan patuh kepada kepimpinan parti yang dilantik kepimpinan pusat, di sebalik pergolakan politik di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli baru-baru ini.

Dalam surat terbuka kepada ahli Pas Perlis, Abdul Hadi berkata, Pas pusat yang dipilih melalui muktamar tahunan mempunyai kuasa mentadbir dan membuat pelantikan di semua peringkat selaras Perlembagaan parti.

Minggu lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mendakwa isu dalaman Pas Perlis terutama membabitkan Mohd. Shukri boleh diselesaikan jika pimpinan di pusat menanganinya lebih awal.

Hashim mendedahkan, beliau telah melaporkan perkara dianggap tidak wajar di negeri itu termasuk kepada Hadi sejak tiga tahun lalu, namun tindakan susulan diharapkan tidak berlaku.

Mohd. Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 25 Disember lalu atas faktor kesihatan iaitu selepas dakwaan lapan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga daripada Pas menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan kepada beliau.

Ahmad Adnan berkata, Pas Perlis menyahut seruan daripada Presiden parti untuk kembali bersama-sama mengukuhkan semula parti itu di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN