Rakyat Malaysia di luar negara perlu patuh undang-undang negara tuan rumah

Rakyat Malaysia di luar negara perlu patuh undang-undang negara tuan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara dan rakyat di negara ini yang melancong atau menetap di luar negara diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan negara tuan rumah.

Kementerian Luar merujuk kepada kes seorang warganegara Malaysia, Muhammad Faiq Zafran Mohd. Jailani yang pada awalnya dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Disember 2025 sebelum disahkan berada dalam tahanan Balai Polis Toyama Minami.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo segera mengambil langkah mengesan keberadaannya serta mengesahkan statusnya sejurus selepas menerima laporan kehilangan, termasuk mengadakan perhubungan secara langsung dengan Kementerian Luar Negeri Jepun dan pihak berkuasa penguatkuasaan tempatan.

Usaha tersebut dilaksanakan sebelum dan selepas laporan media tempatan bertarikh 23 Januari 2026 berhubung status Muhammad Faiq.

“Kementerian ingin menjelaskan prosedur berhubung pemberitahuan penahanan ini. Sebagai sebuah negara berdaulat, Jepun mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undangnya dalam sempadan negara itu.

“Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963 yang turut ditandatangani Jepun, pemberitahuan kepada kedutaan asing mengenai penahanan seseorang individu tidak dibuat secara automatik, sebaliknya hanya dilaksanakan atas permintaan individu yang ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Luar, pihak berkuasa Jepun tertakluk kepada Akta Perlindungan Maklumat Peribadi yang mengklasifikasikan status penahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga termasuk perwakilan diplomatik tanpa persetujuan jelas individu berkenaan.

Katanya, kedutaan dimaklumkan pihak berkuasa penyiasatan di Toyama pada ketika itu, persetujuan untuk mendedahkan maklumat kepada Kedutaan tidak diberikan oleh Muhammad Faiq.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa Jepun terhalang dari segi undang-undang untuk memaklumkan penahanan tersebut kepada Kedutaan Malaysia atau memberikan butiran lanjut mengenai siasatan.

“Selepas menerima pengesahan rasmi mengenai penahanan daripada pihak berkuasa Jepun, kementerian segera memaklumkan waris terdekat dan akan terus berhubung dengan keluarga bagi memastikan mereka menerima perkembangan terkini melalui saluran rasmi,” katanya.

Selain itu, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, juga terus memantau situasi tersebut secara rapi.

“Pegawai konsulat sentiasa bersedia memberi bantuan sewajarnya termasuk memudah cara komunikasi serta memastikan kebajikan beliau, tertakluk kepada persetujuan individu berkenaan dan selaras dengan undang-undang Jepun.

“Bagaimanapun, Kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan.

“Kementerian menegaskan komitmen berterusan terhadap kebajikan warganegara Malaysia di luar negara dan mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan negara tuan rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN