ALOR SETAR: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menitahkan semua pihak menghentikan tohmahan atau fitnah terhadap Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berhubung isu ceramah di masjid dalam negeri itu.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIK bertitah, MAIK memandang serius isu ceramah berunsurkan politik di masjid dan surau kerana pemisahan yang jelas antara ruang ibadah dan politik amat penting bagi menjamin keharmonian masyarakat dan mengelak agama Islam dieksploitasi sebagai alat legitimasi atau propaganda kepentingan tertentu.
Tengku Sarafudin bertitah, MAIK menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Ketua Agama Islam Negeri pada 19 Julai 2023, berhubung ketetapan masjid dan surau yang hendaklah dipelihara kesucian serta kekal bebas daripada sebarang unsur perpecahan dan kepentingan politik kepartian.
“Baru-baru ini tular di media sosial mengenai surat dikeluarkan oleh JHEAIK mengenai penolakan acara ceramah di sebuah masjid. Penolakan ini berasaskan pekeliling yang telah dikeluarkan dan perkara ini telah pun diambil tindakan sewajarnya.
“Diharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang dan sekiranya berulang, tindakan akan terus diambil.
“MAIK menegaskan bahawa tohmahan atau fitnah yang disebarkan melalui apa jua medium bagi menjejaskan imej JHEAIK dan MAIK adalah tidak wajar dan hendaklah dihentikan dengan serta-merta,” titah baginda dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bulan lalu, surat pemakluman daripada Pejabat Agama Daerah Kota Setar terhadap penganjuran ceramah persiapan sambutan Ramadan yang menjemput Exco Agama Kedah di Masjid As-salam, Alor Semela tersebar.
Surat bertarikh 22 Januari lalu kepada Setiausaha masjid berkenaan menyatakan keputusan tidak membenarkan penceramah itu menyampaikan ceramahnya dalam majlis yang dijadualkan berlangsung pada 26 Januari.
Titah Tengku Sarafudin, semua bentuk pengisian agama di masjid dan surau tertakluk kepada peraturan, garis panduan serta kebenaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Tiada mana-mana individu atau pihak dikecualikan daripada pematuhan peraturan itu tanpa mengira jawatan, kedudukan atau latar belakang masing-masing.
“Ketetapan ini dilaksanakan secara adil, konsisten dan saksama demi memelihara kemuliaan masjid serta kewibawaan institusi agama Islam di Negeri Kedah,” titah baginda.
Baginda bertitah, MAIK akan terus melaksanakan amanah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan berlandaskan hukum syarak, undang-undang serta perlembagaan negeri demi memastikan kestabilan, keharmonian dan perpaduan ummah sentiasa terpelihara di Kedah. – UTUSAN










