KULAI: Seorang lelaki berpura-pura bertanyakan arah kepada seorang wanita warga emas sebelum merampas kunci dan melarikan kereta mangsa di sebuah pasar raya di Taman Putri, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 70-an berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 3.15 petang itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa meletakkan kereta Perodua Viva berwarna biru gelap di tempat letak kereta sebelum berjalan menuju ke pintu masuk pasaraya.
“Ketika itu, suspek seorang lelaki yang memakai pelitup muka berpura-pura bertanyakan sebelum merampas kunci kereta dipegang mangsa dan melarikan kenderaan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.-UTUSAN











