PETALING JAYA: Polis menyiasat video tular membabitkan dua penunggang motosikal terlibat dalam pertengkaran serta melakukan halangan terhadap sebuah kereta di Jalan Cheras Perdana dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 5.40 petang, Selasa lalu ketika dua penunggang motosikal sedang menunda kenderaan itu kerana mengalami kerosakan.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua individu terbabit telah terlibat dalam pertengkaran mulut serta melakukan halangan terhadap seorang pemandu kereta berada di lorong yang betul.
“Tindakan penunggang motosikal tersebut yang melawan arus bagi menghampiri kenderaan berkenaan telah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379.
“Pihak Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah, sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mengawal emosi ketika berada di jalan raya,” katanya.- UTUSAN









