JOHOR BAHRU: Polis Johor telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kes penyalahgunaan imej Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, laporan itu diterima pihaknya semalam apabila pengadu membuat laporan polis selepas mengesan video AI tersebut di aplikasi TikTok.
“Kandungan video tersebut menunjukkan imej Yang di-Pertuan Agong memaklumkan bahawa bantuan kewangan akan diberikan kepada orang ramai.
“Siasatan awal mendapati profil TikTok tersebut dipercayai palsu dan dicipta untuk memuat naik video AI tersebut bagi tujuan memperdayakan orang ramai dan secara tidak langsung mencemarkan imej institusi diraja,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (RPO) berkata, beberapa akaun palsu TikTok dikesan menggunakan teknologi AI yang memaparkan suara Sultan Ibrahim.
Katanya, video berkenaan disebarkan dengan memaparkan suara Seri Paduka Baginda kononnya berkaitan bantuan kewangan bersempena Ramadan kepada orang ramai.
Ab. Rahaman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelbagai akaun media sosial palsu lain akan dibuka menggunakan modus operandi sama iaitu menyalahguna teknologi AI melibatkan individu berprofil tinggi.
“Sehubungan itu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai dinasihat agar tidak terpengaruh dengan mana-mana imej atau video yang dimuat naik di media sosial yang tidak rasmi dan mencurigakan,” katanya. – UTUSAN










