PETALING JAYA: Isu penyelenggaraan pokok menjadi masalah perbandaran paling membimbangkan masyarakata bandar apabila aduan mengenainya mencatatkan jumlah tertinggi diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Di bandar-bandar utama, aduan berkaitan pokok mengatasi isu lain seperti longkang tersumbat, sampah sarap dan parkir haram.
Antara paling kerap diterima adalah melibatkan pokok condong, dahan reput dan patah, pokok terlalu rimbun sehingga menghalang lampu jalan serta akar pokok yang merosakkan laluan pejalan kaki dan struktur asas rumah.
Senario itu bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah meningkatkan risiko kemalangan khususnya kepada pengguna jalan raya, pejalan kaki serta penghuni kediaman berhampiran.
Kebimbangan penduduk kian memuncak terutama pada musim hujan dan angin kencang apabila kejadian pokok tumbang sering dilaporkan berlaku.
Beberapa insiden sebelum ini membuktikan pokok tumbang mampu mengakibatkan kerosakan serius terhadap kenderaan, bumbung rumah dan kemudahan awam, malah boleh mengancam nyawa.
PBT mengakui aduan berkaitan penyelenggaraan pokok menunjukkan peningkatan saban tahun, selari dengan pertumbuhan kawasan perbandaran dan pembangunan landskap yang semakin pesat.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, sepanjang tahun lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerima lebih daripada 18,000 aduan awam dengan aduan melibatkan pokok merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 4,526 kes.
“Aduan tertinggi diterima sepanjang tahun lalu melibatkan pokok, di mana lebih daripada 94 peratus daripadanya iaitu sebanyak 4,296 aduan telah diselesaikan manakala 230 yang lain sedang dalam tindakan.
“Aduan tersebut melibatkan pokok yang terlalu besar atau terlalu tua sehingga mendatangkan bahaya dan mengganggu laluan. Tindakan terus akan diambil Skuad Kilat MBJB walaupun mungkin kawasan tersebut bukan bawah pentadbiran MBJB,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, aduan membabitkan pokok tua, dahan reput, pokok tumbang dan isu penyelenggaraan turut membelenggu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Hayatul Huda Othman berkata, pihaknya menerima 2,477 aduan berkaitan pokok tahun lalu.
“Biasanya melibatkan pokok besar di kawasan perumahan, laluan utama serta taman awam yang berisiko tumbang terutama ketika hujan lebat dan angin kencang.
“Antara aduan yang sering diterima adalah pokok condong, dahan patah, pokok terlalu rimbun sehingga mengganggu penglihatan pengguna jalan raya serta akar pokok yang merosakkan laluan pejalan kaki,” katanya.
Di Seremban pula, sekurang-kurangnya lima aduan sehari berkaitan kejadian pokok tumbang diterima setiap tahun oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, kebanyakan kejadian pokok tumbang melibatkan tanah persendirian kerana tidak diselenggara oleh pemilik.
Menurutnya, hanya pokok yang berada dalam kawasan rizab jalan (ROW) MBS akan dicantas dan diselenggara secara berkala.
“MBS tidak boleh memasuki kawasan tanah persendirian kerana ia melibatkan hak milik, namun jika berlakunya kecemasan, tindakan segera tetap akan diambil,” katanya
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, lebih 50,000 batang pokok telah melalui proses cantasan dan penebangan bagi mengurangkan risiko kejadian pokok tumbang, terutamanya di kawasan tumpuan awam dan laluan utama sepanjang 2025.
Katanya, kerjasama 22 arboris (pakar penjagaan pokok bertauliah) yang dilantik melalui kontraktor penyelenggaraan telah melaksanakan pemantauan rapi serta tindakan penyelenggaraan pokok rendah di seluruh Kuala Lumpur sebagai langkah mitigasi menghadapi situasi ribut serta hujan lebat.
Di Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan, perihal pokok merupakan tiga aduan utama yang diterima, selain isu jalan dan pembersihan awam.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima sebanyak 1,990 kes aduan berkaitan pemangkasan pokok sepanjang tahun lalu. – UTUSAN









