KOTA BHARU: Kemelut kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai Ahad ini apabila Majlis Tertinggi mengadakan Mesyuarat Luar Biasa bagi meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi dan melantik pengganti baharu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat tersebut akan berlangsung di Pejabat Agung PAS pada pukul 3 petang.
“Mesyuarat yang dipanggil ini ialah Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN.
“Setakat surat yang dikeluarkan, hanya dua agenda iaitu meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin dan seterusnya melantik pengerusi baharu gabungan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Datuk Oie Poh Choon.
Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS itu berkata, mesyuarat berkenaan diadakan selepas separuh daripada parti anggota bersetuju untuk mengadakannya.
Katanya, Muhyiddin selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS telah memberikan persetujuan.
“Mengikut Perlembagaan PN, mesyuarat perlu melantik salah seorang daripada Timbalan Pengerusi PN untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 14 Januari lalu melaporkan, PAS bersetuju mengetuai PN, namun nama pemimpin yang dicalonkan untuk mengisi kekosongan jawatan Pengerusi hanya akan didedahkan dalam mesyuarat gabungan parti politik itu.
Takiyuddin sebelum ini berkata, parti itu sudah mempunyai nama dalam kalangan kepemimpinan tertinggi untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan berkenaan.-UTUSAN










