PKR miliki kekuatan sendiri ketika parti lain kelam kabut - Anwar

PKR miliki kekuatan sendiri ketika parti lain kelam kabut – Anwar

ANWAR Ibrahim bersama Saifuddin Nasution Ismail dan pimpinan PKR yang hadir ke Konvensyen Keadilan Kedah 2026 di Hotel Raia, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: PKR akan bangkit sebagai sebuah parti yang memiliki kekuatan tersendiri dalam keadaan parti-parti lain di negara ini yang masih berdepan ketidaktentuan ketika ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu juga bersandarkan rekod parti dalam mengurus negara dari sudut tatakelola dan ekonomi, walaupun masih berdepan kritikan serta cabaran daripada pihak luar dan dalam.

“Kita kerja sebagai satu pasukan, percayalah kalau ini semangatnya saya percaya dengan kelam kabut parti-parti yang ada dalam negara ini dan walaupun ada musuh-musuh masih mempertikai rekod kita urus negara, saya yakin Keadilan akan bangkit sebagai kekuatan baharu yang hebat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Konvensyen Keadilan Kedah 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini hari ini.

Beliau juga mahu Kedah menjadi permulaan untuk parti berkenaan bergerak sebagai satu pasukan yang bersama menjana kekuatan demi masa depan yang lebih hebat.

“Jika anda mampu tunjukkan kekuatan sebagai satu pasukan yang bersatu, saya amat yakin dengan masa depan kita. Saya sendiri telah lama berada dalam dunia politik, sedikit sebanyak boleh membaca dan menilai dengan pengalaman yang ada.

“Sendainya dapat mengumpulkan kekuatan, membawa kembali rakan-rakan untuk berbincang serta menyemarakkan semangat kebersamaan, maka itulah asas kejayaan kita. Mana-mana hierarki kepimpinan perlu diterima dengan penuh hormat,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut meminta pimpinan PKR Kedah menerima dengan baik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang dipilihnya dengan memberikan kerjasama terbaik untuk parti.

“Siapa yang pilih dan cadang Saifuddin sebagai Pengerusi MPN Kedah, Presiden. Sebab apa saya pilih kerana saya mahu orang yang ada pengalaman, berkedudukan kuat dalam kerajaan dan dekat dengan saya serta berani.

“Apa ingat saya tak tau ada yang (pertikai) cakap patut orang lain, saya dengar saya tahu tapi sekarang giliran dia dan saya mahu setiap ketua cabang dan ketua ranting tak apa beza pendapat tapi biar kita bina kekuatan ini. Saya jamin tak selamanya Saifuddin pegang di sini seperti juga saya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN