PKR bukan parti yang hanya tahu merungut, merengek

PKR bukan parti yang hanya tahu merungut, merengek

PERDANA Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ di sini hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: PKR tidak mempunyai ruang untuk mana-mana pemimpin dan ahlinya yang hanya tahu berleter dan merengek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa hanya ahli yang sanggup bekerja keras untuk membina dan mengukuhkan PKR sepatutnya kekal dalam parti, manakala mereka yang enggan perlu memberi laluan.

Presiden PKR itu berkata, mandat yang diberikan kepada parti adalah amanah yang memerlukan komitmen dan kerja keras demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, sebarang rungutan yang berterusan tanpa tindakan tidak akan memajukan perjuangan parti.

“Mereka yang tidak mahu bekerja harus keluar. Mandat ini adalah amanah untuk mereka yang bekerja untuk membina dan mengukuhkan parti.

“Rungutan dan aduan yang tiada henti tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kalau tidak mahu bekerja sila keluar, kalau sanggup bekerja boleh kekal. Berleter tak habis-habis boleh keluar, letih dengar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, ahli PKR perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab mereka walaupun terdapat pelbagai kritikan dan maklum balas, namun misi utama parti perlu kekal jelas.

“Jika kita benar-benar mahu memulihkan negara dan membersihkannya daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik perkauman, maka kita mesti bekerja dengan sepenuh hati.

“Jika kita tidak berusaha sepenuh hati, bertelagah sesama sendiri atau bertindak berdasarkan emosi, sikap sedemikian hanya akan menjejaskan objektif parti.

“Jika kamu benar-benar mahu berjuang, kamu mesti melangkah ke hadapan. Itulah semangat yang diperlukan untuk membawa perubahan,” katanya.

Anwar turut menyeru pemimpin parti di semua peringkat termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menggerakkan akar umbi serta memulihkan disiplin dan tekad dalam parti.

Katanya, PKR perlu mempertahankan hak dan maruah rakyat Malaysia serta tetap tegas menentang rasuah dan salah laku, tidak kira di mana ia berlaku.

“Tiada negeri atau daerah yang tiada cabarannya. Yang penting ialah kita kekal fokus kepada matlamat negara iaitu keka bersih, adil dan berprinsip,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN