PETALING JAYA: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih sihat dalam pentadbiran tempatan.
Penolong Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Edmund Lim berkata, pilihan raya untuk Datuk Bandar dan ahli majlis bukan sekadar soal sistem, tetapi soal prinsip bahawa bandar dan komuniti seharusnya dipimpin oleh mereka yang dipilih oleh rakyat.
Katanya, pemimpin tempatan yang dipilih secara langsung oleh rakyat akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana mandat mereka datang terus daripada rakyat, bukan semata-mata daripada pihak yang melantik.
“Apabila pemimpin dipilih oleh rakyat, tahap kebertanggungjawaban mereka meningkat kerana setiap keputusan yang dibuat perlu selaras dengan kehendak dan kepentingan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas penegasan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang berikrar akan menggagalkan cadangan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Edmund yang juga Setiasusaha Publisiti DAPSY Selangor berkata, pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya juga lebih peka terhadap isu setempat dan memahami keperluan masyarakat kerana mereka bergantung kepada sokongan rakyat setempat untuk terus berkhidmat.
Beliau berkata, pilihan raya PBT memperkukuhkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi, membolehkan rakyat terlibat secara aktif dalam pentadbiran tempatan serta memupuk kesedaran sivik dan rasa memiliki terhadap bandar dan komuniti mereka.
Katanya, proses pilihan raya yang terbuka dan kompetitif meningkatkan ketelusan serta kepercayaan awam, kerana rakyat berpeluang menilai visi, rekod dan keupayaan calon sebelum membuat pilihan.
“Pilihan raya PBT bukan sekadar soal sistem, tetapi prinsip bahawa bandar dan komuniti seharusnya dipimpin oleh mereka yang dipilih oleh rakyat, demi kepentingan rakyat sendiri,” katanya.
“Walaupun sistem lantikan Datuk Bandar dan ahli majlis PBT sebelum ini mempunyai kelebihan tertentu, namun sudah tiba masanya untuk kita berbincang secara matang tentang kebaikan mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, bantahan oleh sesetengah pihak dilihat tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan mengabaikan potensi manfaat cadangan yang dibentangkan.
Katanya, perbincangan mengenai sistem pilihan raya PBT sepatutnya berfokus kepada merit dan kebaikan untuk rakyat, bukan semata-mata untuk menolak atau membantah cadangan tanpa asas.
“Tapi nampaknya Dr. (Muhamad Akmal) semakin hampir dengan cara dan pendekatan Pas, di mana apa sahaja cadangan daripada DAP akan dibantah tanpa menilai meritnya.
“Soal sama ada cadangan itu memberi manfaat kepada rakyat atau disokong oleh fakta seolah-olah tidak lagi penting, yang utama hanyalah membantah,” katanya. – UTUSAN










