KOTA BHARU: Seorang pesara tentera terkejut selepas mendakwa dia dimadukan oleh isterinya yang berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih lagi berstatus suami isteri.
Perkara tersebut terbongkar semasa lelaki berkenaan hadir ke pejabat agama di Bachok di sini pada Selasa lalu bagi mengambil surat cerai.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan dimaklumkan oleh pegawai bertugas bahawa bekas isterinya mempunyai dua suami dalam satu tempoh masa.
Wanita itu didakwa bernikah dengan lelaki warga Pakistan itu pada Disember tahun lalu, sedangkan pasangan tersebut hanya disahkan bercerai pada 14 Januari lalu.
Lelaki terbabit kemudian menemui imam yang didakwa menikahkan isterinya untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.
Imam itu bagaimanapun memaklumkan bahawa wanita berkenaan telah mengemukakan dokumen lengkap semasa permohonan pernikahan dibuat.
Pemeriksaan mendapati, tiada sebarang masalah dikesan ketika dokumen dihantar ke pejabat agama.
Lelaki berkenaan kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bachok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.
Sementara itu, Utusan Malaysia sedang berusaha mendapatkan maklum balas dari Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud.-UTUSAN










