KUALA LUMPUR: Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ditukarkan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) ekoran kepakarannya mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pertukaran itu juga dilakukan bagi memberi lebih peluang kepada Wan Shaharuddin untuk terus menyumbang secara langsung bagi kes-kes seumpamanya.
“Bahagian Perbicaraan dan Rayuan merupakan salah satu bahagian utama di AGC yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pendakwaan dan kelancaran proses rayuan di Mahkamah Atasan.
“Penempatan Datuk Wan Shaharuddin di bahagian ini diyakini sesuai dengan kepakaran beliau serta memberi peluang untuk terus menyumbang secara langsung kepada pengendalian kes-kes rayuan yang lebih kompleks dan berprofil tinggi.
“Pertukaran ini tidak menjejaskan pengendalian kes-kes yang sedang dikendalikan beliau di SPRM. Datuk Wan Shaharuddin masih berupaya meneruskan tanggungjawab terhadap kes-kes berkepentingan berkenaan, di samping diberi peluang mengendalikan kes-kes rayuan di peringkat mahkamah yang lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertukaran tersebut yang didakwa sesuatu yang tidak wajar dilakukan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan mempersoalkan tindakan tersebut pada ketika integriti SPRM serta Ketua Pesuruhjaya Azam Baki sedang dipersoal dan berada pada tahap yang paling rendah di mata rakyat.
Muhammad Rafique turut mempertikaikan kedudukan Wan Shaharuddin yang bakal memegang jawatan Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan berkuat kuasa 2 Mac ini secara jawatan terapung di AGC.
Beliau menganggap bahawa pertukaran itu sebagai ‘berlebihan’ memandang SPRM lebih memerlukan pegawai-pegawai yang lebih komited pada kedaulatan undang-undang (rule of law) dan kredibel.
Dalam perkhidmatan awam, jawatan terapung (floating position) merujuk kepada jawatan yang diwujudkan secara sementara tanpa terikat dengan unit atau struktur organisasi tertentu.
la digunakan bagi menempatkan pegawai berlebihan (surplus) atau untuk tujuan khas, dan jawatan ini akan dihapuskan secara automatik apabila pegawai tersebut berpindah atau dinaikkan pangkat.
Selain itu, Mohd. Dusuki memberitahu bahawa pertukaran Wan Shaharuddin adalah amalan biasa dalam perkhidnatan awam yang menekankan prinsip pusingan kerja, pembangunan kerjaya, dan pendedahan kepada bidang tugas yang pelbagai.
“Lazimnya, tempoh pusingan kerja bagi Pegawai Undang-Undang dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah antara tiga hingga lima tahun.
“Datuk Wan Shaharuddin telah berkhidmat selama lebih enam tahun di SPRM dan pertukaran ini adalah sejajar dengan amalan tersebut serta memberi peluang kepada beliau untuk memperluas pengalaman dalam bidang perbicaraan dan rayuan.
“AGC menegaskan bahawa pertukaran pegawai adalah perkara biasa dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan pengalaman, kesinambungan kepimpinan, serta pengukuhan kapasiti organisasi,”jelas Mohd. Dusuki.
Pada 2019, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah memilih Wan Shaharuddin untuk jawatan berkenaan atas saranan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.
Sebelum bertukar ke SPRM, Wan Shaharuddin telah mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi sehingga membawa kepada sabitan salah seperti pembunuhan pengasas Ambank, Hussein Ahmad Najadi, rayuan membabitkan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan kes membabitkan pencerobohan Lahad Datu di Mahkamah Persekutuan.
Beliau juga adalah pendakwa utama dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang kini menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan.
Wan Shaharuddin turut mengetuai pendakwaan dalam kes rasuah bekas menteri Sabah, Datuk Peter Anthony, yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tahun lalu.
Beliau juga mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan RM232.5 juta suapan yang didakwa serta RM200 juta hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.
Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada 9 Mac di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin. – UTUSAN











