PETALING JAYA: Pelakon, Siti Saleha akhirnya mendedahkan wajah anak sulungnya, Indra yang selamat dilahirkan pada 3 Januari lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, Siti Saleha atau Siti Saleha Mohd Baharum, 36, turut berkongsi beberapa momen manis ketika menjalani sesi fotografi bersama keluarga kecilnya itu.
“Assalamualaikum. Indra mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. Tapi Indy tak puasa tau,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu turut memperkenalkan panggilan manja buat putera kesayangannya iaitu Indy.
Teruja melihat perkongsian tersebut, rata-rata pengikut dan rakan selebriti memuji kecomelan cahaya mata pelakon itu yang dikatakan persis anak ‘mat salleh’.
Malah, ada yang menyatakan kecomelan si kecil itu mewarisi Saleha dan suaminya, Joshua Fitton yang sememangnya mempunyai darah kacukan Inggeris.
Terdahulu, Siti Saleha telah mendirikan rumah tangga bersama pereka fesyen, Joshua pada 15 Februari 2025.










