PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kerugian RM2,000 apabila cermin keretanya dipecah penjenayah dalam kejadian di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, penjenayah terbabit melarikan beg tangan wakil rakyat DAP itu yang turut mengandungi kad pengenalan dan dokumen penting lain.
Teresa Kok berkata, ketika kembali ke kereta selepas jogging, beliau mendapati cermin tingkap sebelah penumpang hadapan telah dipecahkan dan beg tangan yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk juga telah hilang.
“Dengan hati yang kecewa, saya terus membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail (TTDI). Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional.
“Selepas laporan awal dibuat, Pegawai Penyiasat (IO), Encik Guna datang untuk mengambil kenyataan saya. Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan saya. Saya hanya meninggalkan balai polis kira-kira jam 9.30 malam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Teresa turut berterima kasih atas kerjasama dan bantuan yang diberikan terhadap aduan kejadian jenayah yang dibuat beliau.
“Memandangkan kes pecah kereta dan kecurian barang berharga kerap berlaku di kawasan berkenaan, saya amat berharap agar pihak Dewan Bandara Kuala Lumpur dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV).
“Terutama di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara demi memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku,” katanya. – UTUSAN










