KUALA TERENGGANU: Lebih 30 penyokong pasukan bola sepak Selangor FC dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman ekoran kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.
Semua yang ditahan dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 10.15 pagi ini selepas ditahan malam tadi bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kes itu.
Katanya, mereka yang ditahan adalah antara 400 penyokong yang ditahan malam tadi di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung kejadian yang berlaku.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin dijadual mengadakan sidang akhbar kira-kira pukul 2.30 petang ini.
Terdahulu, tular beberapa video penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan dan menyalakan suar ketika di kawasan itu.
Selangor FC berdepan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, dekat sini malam tadi. – UTUSAN










