IPOH: Seorang wanita yang tular mengamuk di sebuah restoran mamak di Taman Tasek Damai di sini minggu lalu, dijatuhi hukuman denda RM11,800 oleh dua Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan.
Di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah, tertuduh, Nurfarahanim Soaid, 29, dijatuhi hukuman denda RM1,800 atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamed Hussain Mubarakali dengan cara menampar dan menumbuk lelaki itu.
Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh yang juga penjual kuih di Restoran SK Naina, Jalan Tawas Baru, Taman Tasek Damai, Ipoh pada pukul 6.26 pagi, 28 Januari 2026.
Pertuduhan ke atas wanita itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Amal Aziemah Abd. Kohar mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh dalam mitigasinya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda pada kadar minimum atas alasan merupakan ibu tunggal kepada tiga anak selain pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental serta disahkan menghidap bipolar.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM1,800 ke atas tertuduh atau dua bulan penjara sekiranya gagal menyelesaikan denda berkenaan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muniasamy Rathinavel Nadar menggunakan garfu di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan terhadap wanita itu dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali apabila dengan sengaja melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan tiga keping cermin penghadang makanan milik restoran tersebut.
Bagi dua pertuduhan ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S. Gnanarajan.
Mohd. Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan manakala di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, tertuduh didenda RM4,000 atau 10 bulan penjara.
Mahkamah turut memerintahkan agar barang kes diluputkan oleh pihak pendakwaan sehingga tamat tempoh rayuan. – UTUSAN










