Peniaga lelaki 'berlagak' wanita di TikTok bayar bon jaminan RM3,000

Peniaga lelaki ‘berlagak’ wanita di TikTok bayar bon jaminan RM3,000

Orang yang disyaki (kanan) semasa hadir untuk prosiding pengurusan kes di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan seorang peniaga makanan menghasilkan kandungan TikTok dengan berpakaian dan berlagak seperti wanita mengundang padah apabila dia berdepan pertuduhan di Mahkamah Syariah selepas disiasat penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), baru-baru ini.

Lelaki berusia 25 tahun itu disiasat selepas tampil memberi keterangan kepada Jaheaik pada 25 November 2025 susulan aduan orang awam terhadap video dimuat naiknya dalam media sosial.

Peniaga itu disiasat mengikut Seksyen 19 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Negeri Kelantan 2019 atas dakwaan berkelakuan dan berlagak seperti wanita.

Peguam syarie yang mewakili orang yang disyaki (OYDS), Muhammad Syarafi Mohd. Salleh berkata, anak guamnya sudah membayar bon jaminan sebanyak RM3,000 yang dikeluarkan oleh pegawai penguatkuasa Jaheaik pada Januari lalu sementara menunggu tarikh pertuduhan.

Katanya, sepatutnya hari ini anak guamnya didakwa di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan kerana tempoh matang bon jaminan itu berakhir.

“Disebabkan ada beberapa isu teknikal yang melibatkan kertas siasatan, pendakwaan kes ini tidak dapat dijalankan.

“Justeru kita akan memohon lanjutan tempoh bon jaminan tersebut. Jika tiada sebarang permohonan lanjutan dibuat atau dikekalkan jumlah yang sudah dibayar oleh OYDS, pihak penguat kuasa Jaheaik boleh mengeluarkan satu bon jaminan baharu dengan nilai yang lebih tinggi sehingga RM5,000 atau lebih RM10,000.

“Bon jaminan tersebut adalah satu jaminan untuk memastikan kehadiran OYDS ke mahkamah. Jika tiada sebarang pendakwaan selepas tarikh yang ditetapkan selepas ini, kita akan kemukakan representasi kepada pihak pendakwaan atau penguat kuasa Jaheaik untuk menggugurkan kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Muhammad Syarafi berkata, beliau bersama rakan peguam, Mohd. Faqqhurudin Mohd. Nasir bagaimanapun tidak boleh mendedahkan lebih lanjut kes tersebut kerana belum menerima kertas pertuduhan dan fakta kes yang dihadapi anak guamnya daripada pihak pendakwaan.

Katanya, pihak peguam bela tidak mahu sebarang kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media bercanggah dengan kertas pertuduhan yang dibacakan di mahkamah kelak.

“Apa yang saya boleh jelaskan adalah OYDS sebelum ini ditahan oleh penguatkuasa Jaheaik selepas menerima satu aduan daripada orang awam mengenai tindakannya yang berpakaian dan berlagak seperti seorang wanita menerusi satu video di TikTok.

“Aduan tersebut menyebabkan OYDS dipanggil sebelum ditahan penguatkuasa Jaheaik. Kandungan video yang dimuat naik oleh anak guam tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan maklumat yang diterima menyatakan bahawa OYDS memakai pakaian dan berlagak seperti wanita,” ujarnya.

Muhammad Syarafi berkata, tarikh bagi pertuduhan terhadap anak guamnya akan dimaklumkan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×