Penganggur dakwa sakit mental hadapi tuduhan samun, wanita cedera

Penganggur dakwa sakit mental hadapi tuduhan samun, wanita cedera

TERTUDUH semasa dibawa oleh polis untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penganggur yang mendakwa mengalami masalah mental sejak 2006 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan samun sehingga mencederakan seorang wanita dalam kejadian di Jalan Salor, awal bulan ini.

Nik Muhammad Afiq Nik Azhar, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan samun dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 33 tahun di Kampung Surau Pendek, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 10 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memaklumkan dia masih menerima rawatan psikiatri dan mempunyai sejarah masalah mental sejak hampir dua dekad lalu.

Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan jaminan dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak bagi menjalani pemeriksaan mental selama sebulan. Sebutan semula kes dan penyerahan laporan perubatan ditetapkan pada 29 Mac ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×