Pencakar langit, prasarana moden bukan ukuran pembangunan

Pencakar langit, prasarana moden bukan ukuran pembangunan negara – PM

ANWAR Ibrahim meninjau operasi ETS3 KTMB dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, Johor. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemodenan dan pembangunan negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan kemajuan prasarana semata-mata sebaliknya melalui nikmat kehidupan dan kebajikan yang dirasai semua rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan sempena sambutan Hari Wi­layah semalam berkata, dalam mengejar pembangunan, tidak harus ada kelompok yang tercicir dan kemajuan itu perlu dinikmati semua secara saksama.

“Pembangunan negara tidak wajar hanya diukur melalui ketinggian bangunan, kemajuan fizikal atau kemodenan prasarana semata-mata, tetapi ia berakar menyentuh kehidupan serta kebajikan rakyat, dengan setiap langkah ke hadapan berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat.

“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada ke­lompok tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya semalam.

Beliau berkata, dalam me­nyambut Hari Wilayah Persekutuan, Kerajaan Madani akan terus menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan bersama.

“Justeru, semangat ihsan, saling menghormati dan keber­samaan yang menjadi teras Kerajaan Madani akan terus di­perkukuh demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan bersama.

“Selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutu­an kepada seluruh warga Kua­la Lumpur, Putrajaya dan La­buan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengajak rak­yat Malaysia menjauhi isu ber­baur hasutan dan perkauman dengan menyemai nilai saling menghormati adat dan budaya pelbagai latar belakang ma­sya­rakat sebagai asas kepada keampuhan semangat perpa­duan.

Dalam ucapan Hari Thaipu­sam melalui Facebook, beliau berkata, perayaan itu menjadi satu mercu tanda kepada semangat kebersamaan di kala­ngan masyarakat Malaysia.

Katanya, ia juga menjadi buk­ti sikap saling hormat meng­hormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang kita miliki, inilah keindahan Malaysia, rakyat saling menghormati, meraikan perayaan antara satu sama lain dan hidup dalam suasana harmoni. Perpaduan inilah yang menjadi tunjang kekuatan negara kita.

“Marilah kita terus menjauhi isu berbaur hasutan dan perkauman, sebaliknya menye­mai nilai saling menghormati adat serta budaya sebagai asas kepada keampuhan semangat perpaduan sesama kita,” katanya.

Katanya, seiring dengan as­pirasi Malaysia Madani, buda­ya masyarakat tempatan yang saling meraikan perayaan se­tiap kaum juga wajar terus diperkukuhkan, demi membina negara yang sejahtera, in­klusif dan penuh ihsan.

“Ayuh! terus raikan kepelbagaian, demi Malaysia yang bersatu, aman dan harmoni. Selamat Hari Thaipusam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×