PETALING JAYA: Pemuda Pas mencadangkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.
Sayap parti itu dalam satu hantaran di Facebook menggambarkan Menteri Besar Terengganu berkenaan sebagai seorang teknokrat, pemimpin tenang dan berfokus kepada hasil kerja.
Katanya, Ahmad Samsuri, yang lebih dikenali sebagai Dr Sam bukan seorang ahli politik yang suka berdrama, sebaliknya dikenali sebagai pemimpin yang bekerja dalam diam tetapi menunjukkan hasil yang mengagumkan.
“Pendekatan ini amat disenangi golongan atas pagar yang sudah muak dengan polemik dan drama politik yang berpanjangan.
“Andai kata Dr Ahmad Samsuri dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri suatu hari nanti, apa pendapat rakyat Malaysia semua? Cuba komen,” katanya.
Pemuda Pas menekankan, latar belakang akademik cemerlang yang dimiliki Ahmad Samsuri memberikan kredit sebagai seorang pemimpin negara dan bukan sekadar ahli politik semata-mata.
“Dr Samsuri memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion (High Altitude Engine Failure) daripada School of Mechanical Engineering, University of Leeds pada 2001.
“Sebelum itu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam Combustion and Energy dari Centre for Combustion Studies, universiti yang sama pada 1996,” kata kenyataan itu.
Menekankan kejayaan Ahmad Samsuri ketika mengemudi Terengganu, Pemuda Pas berkata, sejak 2018, negeri itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM14.86 bilion merentasi pelbagai sektor.
Ujarnya, pencapaian itu berterusan sehingga Jun lalu apabila Terengganu mencatatkan pelaburan sebanyak RM6 bilion, angka tertinggi dalam sejarah negeri bagi tempoh separuh tahun pertama.
“Kadar pengangguran turut menurun kepada 2.8 peratus, terendah dalam tempoh lebih 10 tahun bagi suku kedua 2025.
“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu berkembang 4.5 peratus kepada RM39.9 bilion pada 2024 berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Sektor pembinaan negeri juga melonjak 17.5 peratus pada 2024 berbanding hanya 1.7 peratus setahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan aktiviti pembangunan fizikal dan pelaburan yang semakin rancak,” katanya. – UTUSAN










