PETALING JAYA: Gesaan agar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu berikutan pelantikannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu disifatkan sebagai tidak wajar.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S. P. Punithan berkata, desakan tersebut sama sekali tidak mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kepimpinan beliau.
Katanya, peranan berganda yang digalas oleh Ahmad Samsuri itu bukanlah satu bebanan, sebaliknya ia merupakan satu kelebihan yang besar buat gabungan tersebut.
“Beliau mempunyai rekod prestasi yang terbukti dari segi kewibawaan, disiplin, dan kecekapan, selain menjadi watak penting dalam memastikan kemenangan bersih PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu yang lalu.
“Pengalaman pentadbiran serta gaya kepimpinannya yang tenang dan stabil akan terus mengukuhkan PN di peringkat nasional, sambil terus memacu tahap ekonomi negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Punithan berkata, meskipun Pas sering dikaitkan dengan imej Islamik, Ahmad Samsuri sentiasa tampil sebagai seorang pemimpin yang diterima dan dihormati oleh pelbagai kaum di negara ini.
“Sikap inklusif, profesionalisme, serta sifat kenegarawanan yang ditunjukkan oleh kepimpinan beliau disifatkan sebagai contoh pemimpin yang amat diperlukan oleh Malaysia pada masa kini.
“Tiada keperluan langsung untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. MIPP amat yakin beliau mampu menguruskan kedua-dua tanggungjawab ini dengan cemerlang,” katanya.
Tegas Punithan, beliau telah berhubung secara peribadi dengan Ahmad Samsuri dan kedua-duanya berkongsi komitmen yang kukuh untuk saling bekerjasama.
“Melalui interaksi bersama beliau, saya melihat keprihatinannya terhadap masyarakat India mencerminkan dedikasi yang sama seperti yang ditunjukkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang beliau menerajui gabungan ini.
“Kami kini sehaluan dan bersatu hati dalam memastikan masyarakat India terus maju dan mendapat tempat yang sewajarnya demi masa depan Malaysia,” katanya.
Katanya, MIPP akan membuka ruang dan laluan untuk Ahmad Samsuri mendekati masyarakat India dengan lebih mendalam bagi mendengar keluh-kesah dan menyelesaikan isu-isu yang telah lama berlarutan. – UTUSAN










