Pembenihan awan di Johor, tingkatkan paras air empangan

Pembenihan awan di Johor, berjaya tingkatkan paras air empangan

OPERASI Pembenihan Awan dilaksanakan dari Pangkalan Udara Subang dengan kerjasama strategik TUDM yang menyediakan pesawat C130 Hercules. – ihsan NADMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negeri Johor melalui dua siri pelaksanaan semalam dan hari ini dalam usaha menangani keadaan penurunan paras air empangan di negeri itu akibat cuaca kering.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu diselaraskan pihaknya dalam Fasa Cuaca Kering Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang akan dilaksanakan sekali lagi pada Ahad ini di negeri berkenaan.

Katanya, OPA di negeri ini memberi fokus kepada tiga lokasi empangan iaitu Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap.

“NADMA menyelaras pelaksanaan operasi ini dari Pangkalan Udara Subang dengan kerjasama strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyediakan pesawat C130 Her­cules.

“Ini termasuk pasukan Ja­batan Meteorologi Malaysia yang menyelaras aspek teknikal dan saintifik pembenihan awan,” katanya semalam.

NADMA berkata, proses ini melibatkan penyemburan larutan garam (natrium klorida) ke dalam awan yang sesuai bagi menggalakkan pembentukan titisan hujan.

Katanya, kejayaan operasi ini amat bergantung kepada keada­an atmosfera dan kehadiran awan yang sesuai di lokasi sasaran.

“Mengikut laporan, selepas OPA siri pertama yang dibuat semalam, kawasan sekitar Empangan Upper Layang telah mengalami hujan.

“Namun maklumat cerapan peningkatan air hanya boleh dikeluarkan selepas semua siri OPA berakhir,” katanya.

Selain Johor, dua lagi negeri di utara semenanjung iaitu Perak dan Kedah juga mengalami penyusutan air empangan yang digunakan untuk membuat pengairan pertanian khususnya penanaman padi serta domestik akibat cuaca kering berterusan.

Oleh itu, bagi menangani keadaan ini daripada berlarutan, katanya, OPA akan diadakan pada esok dan lusa dengan memberi fokus kepada Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning bagi negeri Kedah manakala Empangan Bukit Merah di Perak.

“Pelaksanaan OPA ini diharap dapat membantu meningkatkan taburan hujan secara terkawal di kawasan tadahan air dan lokasi berisiko tinggi sekali gus menambah paras simpanan air di empangan sebagai sumber air mentah negeri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN