Panas: Refarm Leisure Park jadi tempat berendam

Panas: Refarm Leisure Park jadi tempat berendam

ORANG ramai mandi-manda di Refarm Leisure Park, Temoh dekat Tapah bagi menyejukkan badan semasa musim panas. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Orang ramai memilih mandi di kolam rekreasi air di Refarm Leisure Park, Temoh dekat sini sebagai alternatif menyejukkan badan dan beriadah bersama keluarga susulan cuaca panas yang melanda kebelaka­ngan ini.

Eksekutif Kanan pusat percutian berkenaan, Fathin Nadhirah Mohamed Firdous berkata, Refarm Leisure Park menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung terutama pada hujung ming­gu dan musim cuti persekolahan.

Menurutnya, pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat malah turut datang dari luar Perak terma­suk Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Musim cuti persekolahan memberi peluang kepada pe­ngunjung dari negeri lain singgah berkelah dan bermandi-manda di sini. Kebanyakannya datang bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Menjelang Ramadan tidak lama lagi, kami menawarkan harga tiket promosi RM10 seorang dan setakat ini sambutan amat menggalakkan dengan banyak tempahan diterima,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Mohd. Ismail Mohd. Tajuddin, 41, berkata, dia bersama lima keluarga yang me­netap di Bota Kanan mengambil kesempatan musim panas untuk meluangkan masa bersama keluarga di Refarm Leisure Park.

Katanya, cuaca panas luar biasa mendorong dia membawa tujuh ahli keluarganya ke lokasi berkenaan bagi menyejukkan badan.

“Kebiasaannya kami ke kawasan air terjun, namun bimbang risiko kepala air serta pe­nyakit seperti kencing tikus.

“Di sini, airnya bersih, kemudahan asas lengkap, harga tiket berpatutan RM16 seorang dan boleh mandi dengan selesa,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mahaini Yakin, 71, dari Pusing berkata, dia membawa anak-anak serta 13 orang cucunya untuk mandi bersama sebagai aktiviti keluarga semasa musim panas.

Menurutnya, Refarm Leisure Park menawarkan persekitaran bersih, landskap cantik serta harga tiket yang berpatutan.

“Kami tidak membawa anak cucu ke pantai kerana faktor ke­selamatan dan cuaca yang terlalu panas ketika ini,” kata­nya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN