Cikgu Foo hasilkan lebih 200 seni kaligrafi

Cikgu Foo hasilkan lebih 200 seni kaligrafi

FOO Yong Check menunjukkan antara hasil seni kaligrafi yang dihasilkannya untuk Utusan Malaysia yang membawa maksud kejayaan serta-merta. – UTUSAN /NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seni kaligrafi kekal menjadi antara hiasan wajib setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina kerana dipercayai membawa tuah, kesejahteraan dan doa yang baik kepada pemilik.

Tradisi yang diamalkan sejak ribuan tahun itu turut membuka peluang rezeki kepada seorang pesara guru apabila beliau menerima lebih 200 tempahan kaligrafi dan lukisan kontemporari menjelang musim perayaan tersebut.

Foo Yong Check, 74, berkata kebanyakan tempahan diterima seawal Disember lalu daripada institusi pendidikan, agensi swasta dan kerajaan, selain individu yang ingin menjadikannya sebagai cenderamata, termasuk dari luar Negeri Sembilan.

Katanya, kaligrafi yang ditulis bukan sekadar hiasan, sebaliknya membawa maksud doa dan ucapan yang baik seperti kesejahteraan keluarga, rezeki, kebahagiaan serta umur panjang.

“Rangkap berpasangan ini ditampal di kiri dan kanan pintu rumah. Setiap pasangan tulisan perlu seimbang dari segi maksud, struktur bahasa dan tonasi.

“Ia ibarat pantun dua kerat atau pantun empat kerat dan mempunyai intonasi tertentu ketika dibaca. Setiap helaian pula boleh ditulis dengan empat atau lima perkataan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Yong Check atau lebih mesra disapa Cikgu Foo berkata, pada asalnya penulisan rangkap berpasangan itu dipercayai bertujuan menakutkan makhluk mitos dikenali sebagai Nian yang dikatakan muncul pada hari pertama Tahun Baharu Cina dan mengganggu penduduk.

Katanya, makhluk berkenaan dipercayai takut kepada api serta bunyi bising, menyebabkan masyarakat ketika itu menggunakan kertas berwarna merah yang ditulis dengan perkataan tertentu sebelum digantung di hadapan rumah sebagai simbol perlindungan.

“Kepercayaan itu kini dianggap sekadar mitos, namun penggunaan kertas merah masih diteruskan sehingga hari ini kerana warna tersebut melambangkan tuah dan kesejahteraan dalam masyarakat Cina,” katanya.

Selain menghasilkan kaligrafi tradisional, beliau turut menggabungkan seni tulisan dengan lukisan zodiak Cina, sekali gus menjadikan karyanya lebih kontemporari dan diminati pelbagai lapisan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN