ALOR SETAR: Walaupun terlantar di katil hospital akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan bulan lepas, seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) tetap bersemangat untuk meneruskan pengajiannya yang berbaki dua semester.
Nur Aleeya Kahairani Ahmad Shukri, 21, seorang penuntut cemerlang jurusan perakaunan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mengalami kecederaan serius sehingga mengakibatkan saraf tunjangnya terputus.
Ibunya, Rozita Samingon, 52, berkata, keadaan anak bongsu dari lima beradik itu semakin pulih selain tahap kesihatannya juga bertambah baik.
“Selepas menjalani pembedahan menebuk leher, dia masih boleh berkomunikasi, walaupun tidak keluar suara, bibirnya masih bergerak. Keadaan dia baik, sedar dan dia ingat semua yang berlaku dan cakap mahu sambung belajar semula.
“Dia tidak patah semangat, dia kata tidak mahu tunda pengajiannya kerana masih berbaki dua semester sahaja lagi, jadi kami sekeluarga memang tidak berhenti bagi semangat kepadanya kerana doktor kata proses rawatan dan pemulihan panjang,” katanya ketika ditemui di Lobi Utama Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Pelajar semester lima Sarjana Muda Perakaunan yang berasal dari Pendang itu terlibat dalam kemalangan semasa menaiki motosikal bersama rakannya pada 31 Januari lepas.
Rozita berkata, pihaknya berbesar hati dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang meluangkan masa menziarah anaknya itu serta menghulurkan sumbangan.
“Saya amat berterima kasih atas keprihatinan beliau dan pihak universiti yang buat anak sangat terharu kerana ramai yang sayang dan tidak putus-putus memberi semangat kepada dia,” katanya. – UTUSAN










