Pemandu lori, mekanik tak mengaku menyamar polis dan merompak

Pemandu lori, mekanik tak mengaku menyamar polis dan merompak

MUHAMMAD Nurazmi Azizan (kiri) yang berdepan pertuduhan menyamar sebagai polis dibawa bersama Muhamad Khairul Mohamed Rafil (tengah) dan Mazuan Mohd Nasir yang masing-masing berdepan pertuduhan yang sama iaitu menyamar sebagai polis dan merompak ketika tiba di Komplek Mahkamah George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang pemandu lori dan mekanik motosikal mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini atas tuduhan menyamar sebagai polis dan merompak, minggu lepas.

Dua tertuduh iaitu Muhamad Khairul Mohamed Rafil, 32, dan Mazuan Mohd Nasir, 45, dituduh menyamar sebagai polis di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Muhamad Khairul yang bekerja sebagai pemandu lori dan Mazuan, seorang mekanik didakwa berbuat demikian di hadapan lif Blok 51, Relau kira-kira pukul 11.24 malam, pada 16 Februari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dan menetapkan 26 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Muhamad Khairul dan Mazuan juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta iaitu sebuah Iphone 11 Promax dan sebuah beg silang milik seorang lelaki dan sebuah Iphone 13 Promax milik seorang wanita pada masa dan lokasi yang sama seperti pertuduhan awal.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah bagaimanapun bersetuju membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh Darrshini. Kes akan disebut semula kes pada 6 April depan.

Dalam kes berasingan pula, seorang peniaga Muhammad Nurazmi Azizan, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyamar sebagai polis di hadapan Restoran Nasi Kandar Makbul di Relau di sini pada pukul 1 pagi, 17 Februari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Nurazmi diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 26 Mac depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini