Peluang kerja pelarian kurangkan kebergantungan buruh tidak mahir

Peluang kerja pelarian kurangkan kebergantungan buruh tidak mahir

JOHARI Abdul (duduk, tiga dari kiri) ketika bergambar bersama para perwakilan pada Simposium Parlimen Mengenai Akses Kepada Pendidikan Dan Kerja Undang-Undang Untuk Pelarian di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki peluang besar memanfaatkan tenaga kerja pelarian yang sedia ada dengan menyediakan latihan bersasar dan laluan sah ke pasaran pekerjaan bagi memenuhi keperluan sektor seperti perkilangan, perladangan dan perkhidmatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, malah perkara itu berpotensi menjadi tenaga kerja berdisiplin serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara

“Program Simposium Parlimen Mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah bagi Pelarian ini dilihat sebagai pendekatan strategik negara untuk membolehkan golongan ini menyumbang secara produktif kepada sektor industri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing tidak mahir.

“Pelarian yang diberikan pendidikan dan latihan kemahiran bukan sahaja mampu bekerja dengan berkesan, malah berpotensi menjadi tenaga kerja berdisiplin serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika berucap di sidang akhbar Program Simposium Parlimen Mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah bagi Pelarian, di Parlimen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus berkata, pendekatan latihan dan pekerjaan kepada pelarian selari dengan prinsip hak asasi manusia serta mampu mengurangkan risiko eksploitasi dan pekerjaan tidak formal.

Katanya, dasar yang jelas dan menyeluruh perlu diwujudkan supaya latihan yang diberikan tidak berakhir sia-sia tanpa akses pekerjaan sah dan perlindungan undang-undang.

Bagi Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Louise Aubin pula menyifatkan program latihan itu sebagai langkah praktikal untuk membolehkan pelarian menyumbang kembali kepada negara yang memberi perlindungan kepada mereka.

Menurutnya, akses kepada kemahiran, pendidikan dan pekerjaan sah akan mengukuhkan kesejahteraan komuniti, meningkatkan keselamatan sosial serta memberi manfaat bersama kepada pelarian dan masyarakat tempatan.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen berkata, inisiatif latihan berkenaan berpotensi menjadi asas kepada era baharu pengurusan pelarian yang lebih berstruktur, berperikemanusiaan dan berpaksikan data.

“Parlimen perlu memainkan peranan aktif memastikan pelaksanaan program itu selari dengan kepentingan keselamatan negara, keperluan industri dan tanggungjawab kemanusiaan.

“Program latihan pelarian perlu dilihat sebagai pendekatan bermanfaat semua pihak yang bukan sahaja memartabatkan maruah insan, malah menyokong keperluan tenaga kerja serta pembangunan mampan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN