'Pelabur AS teruja dengan perjanjian ART'

‘Pelabur AS teruja dengan perjanjian ART’

EDGARD D. Kagan ketika sidang akhbar semasa sesi pertemuan bersama media di Penang Institute, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Rata-rata pelabur dari Amerika Syarikat (AS) kini menunjukkan keterujaan yang tinggi terhadap perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS kerana yakin perjanjian tersebut mampu memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, perjanjian ART bukan sahaja memberikan peluang eksport bernilai lebih 6 bilion dolar AS (RM23.68 bilion) kepada syarikat Malaysia, malah, ia memberi manfaat besar kepada rakyat negara ini termasuk yang berada di luar bandar.

“Pelabur AS sangat teruja dengan perjanjian ini. Bagi mereka, perjanjian ART menunjukkan komitmen politik dan ekonomi jangka panjang kedua-dua negara sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur (AS) untuk melabur di Malaysia,” katanya ketika sesi pertemuan bersama media di Penang Institute, hari ini.

Jelas beliau, perjanjian ART bukan sekadar mengenai butiran teknikal yang terkandung di atas kertas, tetapi, ia juga menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia dan AS kini bersedia untuk menjalin integrasi ekonomi untuk jangka masa panjang.

Oktober lalu, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian ART semasa lawatan Presiden, Donald Trump ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

Di bawah perjanjian tersebut, AS mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia dengan beberapa produk menikmati tarif sifar menerusi senarai perdagangan rakan sejajar.

Sebagai balasan, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran keutamaan kepada eksport industri AS selain tidak mengenakan larangan atau kuota ke atas eksport mineral kritikal atau nadir bumi ke AS.

Dalam pada itu, Kagan memberitahu, Pulau Pinang akan terus memainkan peranan penting sebagai hab utama pelaburan AS khususnya dalam sektor semikonduktor, elektronik dan peralatan perubatan di Malaysia pada masa ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN