PARLIMEN: Tiada klausa ART benar pihak luar atasi undang-undang negara

PARLIMEN: Tiada klausa ART benar pihak luar atasi undang-undang negara

sungai johor
Johari Abdul Ghani ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang membenarkan pihak luar mengatasi undang-undang Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, komitmen perjanjian itu hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan melalui proses legislatif dan pentadbiran negara.

“Perjanjian ART juga tidak menjejaskan kedaulatan ekonomi negara serta perlindungan terhadap industri domestik.

“ART tidak mengikat Malaysia kepada sebarang komitmen komersial atau pelaburan secara paksa, sebaliknya membuka peluang kepada eksport dan pelaburan menerusi mekanisme serta dasar yang saling menguntungkan tanpa mengorbankan autonomi dasar ekonomi negara,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai hasil libat urus ART dengan industri tempatan serta jaminan perjanjian tersebut tidak menjejaskan kedaulatan ekonomi dan perlindungan industri domestik.

Menurut Johari, wakil sektor swasta serta pihak berkepentingan lain bagi memberi penjelasan berhubung objektif, skop dan implikasi pelaksanaan ART antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, sesi libat urus ini turut bertujuan mendapatkan maklum balas pihak berkaitan mengenai potensi kesan perjanjian terhadap daya saing industri tempatan, rantaian bekalan serta kepentingan eksport negara supaya kebimbangan dan pandangan industri tempatan dapat diambil kira dalam pelaksanaan perjanjian ini.

“Hasil perbincangan menerusi sesi-sesi libat urus berkenaan telah membantu kerajaan dalam rundingan ART yang bersifat strategik dengan matlamat mengurangkan kadar tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS ke atas Malaysia.

“Perjanjian itu perlu dirunding bagi melindungi pasaran eksport Malaysia, sektor pekerjaan serta mempertahankan daya saing sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, getah dan farmaseutikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×