PETALING JAYA: Pegangan pasaran jenama nasional meningkat 5.4 mata peratusan tahun ke tahun kepada 71.4 peratus pada Januari 2026, didorong oleh jualan kukuh Proton yang melonjak lebih dua kali ganda kepada 19,750 unit, susulan kejayaan pelancaran Proton Saga 2026.
Penganalisis CIMB Securities, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, pegangan pasaran Proton meningkat 11.3 mata peratusan kepada 30.7 peratus, sekali gus merapatkan jurang dengan Perodua (40.6 peratus).
“Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Proton Saga mengatasi Perodua Bezza sebagai model terlaris pada Januari 2026.
“Proton memaklumkan lebih 19,000 unit Saga baharu telah dihantar daripada hampir 100,000 tempahan yang diterima sejak November 2025.
“Sementara itu, Perodua sebagai peneraju pasaran mencatatkan pertumbuhan volum 12.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026, disokong permintaan berdaya tahan bagi Bezza, Myvi dan model terbaharu, Traz,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam segmen bukan nasional, kebanyakan jenama Jepun merekodkan jualan lebih rendah tahun ke tahun kecuali Mazda yang meningkat 30 peratus.
Menurutnya, jenama China pula terus mengukuhkan kedudukan dengan pegangan pasaran meningkat kepada 10.9 peratus daripada 8.6 peratus, dipacu jualan lebih kukuh BYD, Jetour, Jaecoo dan Chery.
Mengulas mengenai prestasi jumlah volum industri (TIV) bulan lalu, beliau berkata, peningkatan sebanuak 28.7 peratus tahun ke tahun kepada 64,298 unit pada Januari 2026, didorong oleh pertambahan penghantaran merentas segmen kenderaan penumpang dan komersial.
Katanya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjelaskan prestasi tahunan yang lebih kukuh itu disokong oleh pelbagai pelancaran model baharu pada hujung 2025.
“Ini selain kesan asas rendah berikutan bulan bekerja yang lebih pendek, iaitu 19 hari, susulan cuti Tahun Baharu Cina pada hujung Januari 2025.
“Bagaimanapun, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, TIV Januari 2026 merosot 29.1 peratus, sebahagian besarnya akibat asas tinggi pada Disember 2025 yang mencatatkan penghantaran hujung tahun serta berakhirnya pengecualian cukai EV CBU.
“Jumlah volum pengeluaran (TPV) pula meningkat 5.9 perarus tahun ke tahun kepada 60,866 unit pada Januari 2026.
“MAA menjangkakan jualan Februari 2026 kekal sederhana berikutan bulan operasi yang lebih singkat, dengan hanya 17 hari bekerja selepas cuti Tahun Baharu Cina,” jelasnya.
CIMB Securities mengekalkan unjuran TIV bagi 2026 pada 800,000 unit, mewakili penurunan 2.5 peratus tahun ke tahun, sedikit lebih tinggi berbanding jangkaan MAA sebanyak 790,000 unit.
Mohd. Shanaz berkata, unjuran itu berasaskan hala tuju dasar yang lebih jelas susulan pelaksanaan program subsidi petrol BUDI95.
“Ia turut merangkumi pengesahan mengenai semakan nilai pasaran terbuka (OMV) tidak akan mencetuskan kenaikan harga kenderaan secara serta-merta.
“Walau bagaimanapun, permintaan dijangka menormalkan selepas aktiviti pembelian awal kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU), di samping tekanan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
“Namun begitu, penembusan EV nasional dijangka meningkat pada 2026F, disokong pelancaran Proton e.MAS 5 serta kesinambungan insentif cukai EV pemasangan tempatan (CKD),” katanya. –UTUSAN










