GEORGE TOWN : Pameran dan Persidangan Pendigitalan Pulau Pinang 2026 (PDX2026) yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Spice di sini pertengahan Julai depan dijangka menarik kehadiran sehingga lebih 10,000 peserta.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Lukas J. Tan berkata, jangkaan tersebut dibuat susulan kejayaan penganjuran PDX2025 yang menghimpunkan hampir 1,000 para usahawan serta pakar industri dalam negara, tahun lepas.
Beliau berkata, berbanding PDX2025, PDX2026 akan diadakan dalam skala yang jauh lebih besar iaitu melibatkan penyertaan daripada beberapa negara luar termasuk Jepun dan Korea Selatan serta hampir semua negara di Asia Tenggara kecuali Timor-Leste.
“PDX diwujudkan dengan satu objektif yang jelas iaitu untuk menyatupadukan seluruh ekosistem digital di bawah satu platform. Kami memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah buat kali kedua kerana negeri ini mempunyai infrastruktur, bakat serta jaringan yang kukuh.
“Pada masa yang sama, program ini juga mendapat sokongan penuh daripada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar, hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.
Dianjurkan oleh syarikat berasaskan perisian dan teknologi maklumat, OPERiON Ecommerce & Software Sdn. Bhd. (OPERiON), PDX2026 menghimpunkan 170 pempamer serta seramai 11 penceramah untuk mengupas isu-isu semasa berkaitan pendigitalisasian dan teknologi terkini termasuk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Selain OPERiON, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi termasuk Penang Convention and Exhibition Bureau (PCB), Digital Penang, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Wilayah Utara, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan lain-lain.
Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong program-program berkaitan sains dan teknologi termasuk program digital di Pulau Pinang.
“Secara jujurnya, boleh saya katakan bahawa PDX2026 bukan satu-satunya program berkaitan digital di Pulau Pinang, tetapi, saya pasti ia akan menjadi antara program digital terbesar dan yang paling diingati selepas ini,” ujar beliau.-UTUSAN










