PETALING JAYA: Pemecatan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dianggap sebagai satu keputusan luar jangkaan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berita itu mengejutkan banyak pihak, namun berharap parti berkenaan dapat meredakan kemelut dalaman tersebut dengan segera demi kestabilan gabungan.
“Keputusan Bersatu ini mengejutkan kami dan Pas berharap konflik dalaman parti itu dapat diselesaikan segera,” katanya.
Susulan perkara itu, pas bersama ahli Parlimen parti akan membincangkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dalam masa terdekat.
Buat masa ini, jentera Pas diminta menumpukan usaha kepada aktiviti parti bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung tahun ini.
Pada masa sama, persiapan awal turut diberi perhatian menjelang PRN di Johor dan Sarawak yang diramal diadakan tahun hadapan.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan mengumumkan Hamzah dipecat daripada Bersatu berkuatkuasa hari ini.
Beliau dipecah di bawah Fasal 22.5 selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti itu. – UTUSAN










