PETALING JAYA: Lebih 30,000 ahli Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara kekal menyokong kepemimpinan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Seri R. Sanjeevan berkata, sokongan itu tetap teguh walaupun Ketua Sayap Bersekutu, Dr. Chong Fatt Full mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini.
“Sayap bersekutu ini terus berfungsi seperti biasa dan tidak terjejas dengan perkembangan berkenaan.
“Kami menghormati keputusan individu termasuk Dr. Fatt Full yang memilih untuk berundur kerana ia adalah pilihan peribadi. Dalam organisasi besar, keluar masuk ahli adalah perkara biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkata, peletakan jawatan beberapa individu tidak menjejaskan kekuatan dan kestabilan Sayap Bersekutu yang terus bergerak secara tersusun di seluruh negara.
Katanya, sayap itu juga kekal teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai tonggak utama pembinaan parti sejak penubuhan Bersatu.
“Beliau adalah pengasas Bersatu dan asas perjuangan parti ini dibina sejak hari pertama di bawah kepemimpinannya,” katanya.
Beliau berkata, sebarang cubaan atau gerakan tersusun untuk melemahkan kedudukan Presiden parti akan ditentang sepenuhnya.
Katanya, perbezaan pandangan boleh diraikan dalam semangat demokrasi tetapi usaha untuk melemahkan institusi presiden tidak dibiarkan.
“Perjuangan parti tidak bergantung kepada emosi atau kepentingan individu, sebaliknya berpaksikan prinsip, kesetiaan dan disiplin organisasi.
“Kami mendoakan yang terbaik kepada mereka yang memilih haluan berbeza namun Sayap Bersekutu terus melangkah ke hadapan secara matang, profesional dan tenang.
“Kekuatan sebenar dalam politik bukan terletak pada suara yang paling lantang, sebaliknya pada kesetiaan mempertahan perjuangan parti,” katanya. – UTUSAN










