IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tapah menjadi bahagian terbaharu di negeri ini yang terbubar berikutan semua ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian itu meletak jawatan dan mengisytiharkan keluar parti semalam.
Keputusan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Bahagian Tapah, Norkhusairi Khusasi yang dimuat naik dalam satu rakaman video.
Keputusan dibuat selepas mesyuarat khas bahagian itu semalam hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan pemecatan ketua bahagian itu, Mohd. Yunus Mohd. Yusop.
Dalam rakaman video tersebut, semua AJK Bahagian yang hadir menegaskan mereka meletak jawatan dan mengisytiharan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
“Setelah mengadakan Mesyuarat Khas Bahagian, kami bersetuju dan istiqamah pada hari ini bertarikh 16 Februari 2026 pada pukul 10.50 malam meletakkan jawatan kami dan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
“Tindakan ini dilakukan atas faktor kami telah hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyidin Yasin sebagai Presiden dan pemecatan Ketua Bahagian kami, Mohd. Yunus Mohd. Yusop.
“Dengan peletakan jawatan seluruh Jawatankuasa Bahagian ini, secara rasminya Jawatankuasa Bersatu Bahagian Tapah telah terbubar serta merta. Kenyataan ini adalah ikhlas tanpa paksaan dari mana mana pihak,” kata mereka dalam video berkenaan.
Sebelum ini Bahagian Larut dan Padang Rengas terbubar apabila AJK kedua-dua bahagian meletak jawatan juga atas alasan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin.
Ia susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 16 ahli lain, termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – UTUSAN










