PARLIMEN: Matriks Pembelajaran tidak wujudkan tekanan ranking sekolah

PARLIMEN: Matriks Pembelajaran tidak wujudkan tekanan ranking sekolah

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Matriks Pembelajaran bagi murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga tidak akan mewujudkan semula budaya ranking atau penarafan sekolah yang boleh memberi tekanan berlebihan kepada murid serta guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sebaliknya menekankan aspek integriti dan matlamat intervensi selaras dengan domain Pentaksiran Berasaskan Sekolah di bawah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, pelaksanaan Matriks Pembelajaran berkenaan akan dikendalikan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan (LP), meliputi penyediaan instrumen, panduan penskoran serta slip keputusan.

“Instrumen serta panduan penskoran akan disediakan dan dicetak oleh LP. Jadi guru tidak perlu menyediakan instrumen bagi Matriks Pembelajaran ini kerana semuanya disediakan oleh LP.

“Selepas proses pentaksiran selesai, slip keputusan akan dikeluarkan oleh LP dan pihak sekolah akan mencetak serta mengedarkannya kepada murid.

“Kertas pentaksiran Matriks Pembelajaran Malaysia akan diberikan semula kepada murid selepas selesai proses perekodan bagi tujuan intervensi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Che Alias Hamid mengenai justifikasi Kerajaan dalam memperkenalkan sistem peperiksaan awam bagi tahun empat dan tingkatan tiga serta tahap kesediaan Lembaga Peperiksaan terhadap pelaksanaan ini agar tidak membebankan guru dan murid.

Fadhlina berkata, Matriks Pembelajaran bagi Tingkatan Tiga yang akan dilaksanakan mulai tahun depan turut dikendalikan secara berpusat oleh LP.

Menurutnya, matriks berkenaan akan membolehkan pencapaian murid dinilai bagi membantu guru, sekolah dan Kementerian Pendidikan merangka intervensi yang lebih berfokus dan intensif bagi memperkukuh penguasaan literasi, numerasi serta kemahiran saintifik murid.

“Data yang diperoleh daripada Matriks Pembelajaran dapat membantu sekolah dan guru memahami keperluan murid dengan lebih tepat supaya sokongan dapat diberikan lebih awal dan bersasar.
“Ini bermakna ruang untuk intervensi boleh dilaksanakan semasa murid berada di Tahun Lima dan Enam. Ini penting kerana murid akan disediakan untuk menghadapi tiga pentaksiran antarabangsa.

“Mereka akan berhadapan dengan CPLM, manakala di sekolah menengah akan melalui TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) serta Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA),” katanya.

Tambah beliau, isu integriti sentiasa diberi perhatian oleh kementerian dan oleh itu LP akan mengawal selia keseluruhan pelaksanaan Matriks Pembelajaran ini.

“Dari segi kawal selia, ia akan dilaksanakan oleh LP. Pada masa sama, kita juga telah bersedia untuk melaksanakan penyampaian maklumat serta penjelasan kepada semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, KPM memaklumkan Matriks Pembelajaran Tahun Empat akan membabitkan mata pelajaran teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, manakala sekolah aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) turut dinilai dalam mata pelajaran bahasa masing-masing.

Matriks Pembelajaran Tahun Empat dijadualkan dilaksanakan mulai Oktober 2026, manakala bagi Tingkatan Tiga bermula pada 2027 selaras dengan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN