Matriks Pembelajaran bendung keciciran pelajar

Matriks Pembelajaran bendung keciciran pelajar

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Matriks Pembelajaran merupakan antara langkah Kementerian Pendidikan bagi menangani isu keciciran murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pelaksanaan Matriks Pembelajaran tahun empat yang dijadual bermula Oktober ini bertujuan mengenal pasti lebih awal kelemahan serta tahap pencapaian murid supaya langkah sokongan dapat dilaksanakan pada tahun lima dan enam.

Katanya, program intervensi turut dilaksanakan seawal tahun satu khususnya bagi murid yang berdepan kesukaran mengikuti pembelajaran agar mereka tidak tercicir dalam prestasi akademik.

“Tujuan utama bagi Matriks Pembelajaran adalah untuk membolehkan pihak KPM mengesan dengan lebih awal kelemahan dan juga pencapaian anak-anak kita supaya segala intervensi dan juga langkah-langkah kita boleh ambil.

“Bagi tahun satu, setiap tahun kita ada melaksanakan program intervensi untuk anak-anak yang menunjukkan sedikit kelemahan dari segi untuk mengikuti pembelajaran dan program-program sebegini akan terus dilaksanakan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) berhubung isu keciciran pembelajaran yang berlaku dalam kalangan murid di Dewan Rakyat, hari ini.

Kah Woh berkata, KPM juga sentiasa memastikan peluang pendidikan yang adil kepada semua murid sama ada di bandar, luar bandar mahupun kawasan pedalaman bagi menangani isu keciciran.

Katanya, kerajaan tahun lalu meluluskan dasar mewajibkan persekolahan sehingga tingkatan lima atau tempoh 11 tahun selain memperluaskan inisiatif seperti Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) sebagai langkah berterusan membendung keciciran murid.

“KPM juga sentiasa menyediakan peluang yang sama kepada anak-anak kita untuk memastikan isu keciciran itu dapat kita tangani.

“Kita juga ada program-program seperti sekolah K9 dan K11 yang sedang hangat diperluaskan oleh KPM dan kita yakin bahawa kita sedang dalam landasan yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN