KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 33,400 aduan berhubung dakwaan penipuan dalam talian sejak 2023 hingga tahun lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jumlah itu direkodkan sebagai aduan tertinggi berbanding keseluruhan 136,082 yang diterima kementerian berkenaan dalam tempoh dua tahun.
Maka sebab itu, katanya, kerajaan berhasrat mewujudkan kerangka penyelesaian pertikaian yang menjadi salah satu teras kepada dapatkan kajian reformasi perundangan berkaitan e-dagang.
“Berdasarkan statistik dari tahun 2023 hingga 2025, sebanyak 136,082 merangkumi pelbagai kategori aduan diterima. Daripada jumlah itu, sebanyak 83,239 aduan membabitkan bidang kuasa KPDN.
“Kategori aduan tertinggi adalah membabitkan dakwaan penipuan atas talian iaitu berjumlah 33,400 dengan jenis aduan yang diterima antaranya membabitkan harga barang, perkhidmatan mengelirukan, tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan.
“Aduan juga membabitkan barang atau perkhidmatan yang diterima tidak seperti ditawarkan; cetak rompak dalam talian; barang tiruan dalam talian dan menaja skim piramid dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) tentang jumlah kes penipuan membabitkan transaksi jual beli yang dilaporkan sejak 2023 hingga kini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, reformasi undang-undang e-dagang itu dijangka dibentangkan pada sesi atau penggal persidangan Dewan Rakyat, akan datang.
Katanya, dalam reformasi undang-undang e-dagang yang disasar untuk dibentangkan pada sesi atau penggal akan datang, antara penambahbaikan yang akan dimasukkan adalah mewujudkan platform Penyelesaian Pertikaian Atas Talian (ODR).
“Ia dikawal selia oleh kerajaan sebagai pengukuhan kepada Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR). Berbeza dengan ADR yang masih membabitkan proses secara fizikal, ODR akan memanfaatkan sepenuhnya platform digital untuk memudahkan sebarang proses perundingan, mediasi timbang tara dan pendengaran kes.
Katanya, ia akan dimulakan dengan aduan dan kes yang membabitkan bidang kuasa KPDN, dan pihaknya berharap ia dapat diperluaskan ke seluruh ekosistem e-dagang.
“Penambahbaikan ini perlu melihat kepada kadar aduan yang masih tinggi, meningkatkan perlindungan kepada pengguna dan sekali gus membangunkan ekosistem e-dagang yang sihat, mampan dan progresif,” katanya. – UTUSAN










