KUALA LUMPUR: Tanggungjawab memastikan pemandu kenderaan berat bebas daripada penyalahgunaan dadah tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak penguatkuasa semata-mata.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semua syarikat pengendali perlu memainkan peranan aktif dengan menyediakan mekanisme pemantauan serta perancangan dalaman bagi memastikan pemandu mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada pengaruh bahan terlarang.
Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat merupakan ancaman besar kepada keselamatan jalan raya kerana ia berpotensi menyebabkan kemalangan serius serta meragut nyawa pengguna lain.
“Bukan sahaja pihak penguat kuasa yang perlu mengambil tindakan, malah syarikat dan operator juga perlu ada perancangan serta tanggungjawab untuk memastikan pemandu mereka bebas daripada dadah.
“Ini perkara yang sangat membahayakan kerana mereka boleh menjadi ‘pembunuh jalan raya’ sekiranya berada di bawah pengaruh dadah ketika memandu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Penjejak Penjimatan Pas My50 serta Pendigitalan Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park di sini, hari ini.
Anthony berkata, sejak tahun lalu pelbagai operasi bersepadu telah dilaksanakan melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membanteras isu tersebut.
“Pendekatan lebih tegas semua pihak termasuk industri pengangkutan amat diperlukan selepas pelbagai hasil operasi ramai pemandu kenderaan berat terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Usaha menangani masalah berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara berasingan, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada agensi penguat kuasa,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa berdasarkan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 261 pemandu kenderaan berat dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu ketika pemeriksaan dilaksanakan secara bersepadu khususnya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan pemandu mengambil dadah bagi mengelak keletihan dan meningkatkan daya tahan fizikal ketika memandu jarak jauh.
Tambahnya, berdasarkan soal siasat AADK semasa operasi, penggunaan dadah khususnya dadah perangsang (ATS) digunakan sebagai satu kaedah mengelak mengantuk dan menangani tekanan dalam mematuhi jadual ketat penghantaran barang.
Ruslin berkata, kesan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu ini amat berat dan berisiko tinggi menjejaskan keselamatan jalan raya sehingga boleh berlaku kemalangan.
Penggunaan dadah boleh merosotkan fungsi kognitif dan masa tindak balas. Ia menjejaskan keupayaan berfikir, menilai risiko, membuat keputusan serta koordinasi motor, sekali gus meningkatkan keberangkalian kesilapan semasa memandu. – UTUSAN










