GENTING HIGHLANDS: Kes yang telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) akan dinilai dan disemak semula oleh Panel Penilai Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, profesional dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pengerusi PPO SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata, secara umumnya semua kertas siasatan yang telah selesai disiasat SPRM, namun tidak berakhir dengan pendakwaan boleh dibuka dibuka semula.
Menurutnya, PPO akan menyemak bagi meneliti semula sebarang kekurangan dalam kertas siasatan terbabit yang menyebabkan kes tidak dibawa ke mahkamah.
“Kebiasaan ia melibatkan kes perhatian awam dan berprofil tinggi.
“Perkara itu juga dibincangkan bersama pihak pendakwaan dan terpulang kepada pendakwaan untuk menilai semula keputusan kes dengan mengambil kira pandangan PPO,” katanya selepas Bengkel Kewartawanan SPRM 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun kes yang tidak dapat diteruskan atas faktor kekurangan keterangan untuk membuktikan kes atau isu undang-undang yang tidak menyebelahi pendakwaan, keputusan tidak meneruskan kes akan kekal.
Jelasnya, dalam keadaan itu ia akan kekal sebagai NFA.
“Ada isu-isu ini kalau disiasat akan dapat dibaiki lagi…ada kes contohnya tidak kesan kesalahan rasuah, tapi kesan kesalahan pecah amanah. Kita akan minta pihak pendakwaan ‘review’ semula kerana mungkin keterangan (bukti) itu ada,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun, antara cabaran yang dihadapi bagi membuka semula siasatan kes yang diklasifikankan sebagai NFA terutama kes-kes lama ialah pencarian bukti dan saksi.
Terdahulu, dalam bengkel itu, Ahmad Rosli turut membentangkan statistik kertas siasatan NFA yang disemak semula bagi tempoh 2009 hingga 2025.
Dalam laporan itu, sebanyak 1,896 kertas siasatan NFA direkodkan bagi tempoh terbabit dan daripada jumlah itu, 136 kertas siasatan disemak semula, manakala selebihnya dipersetujui bagi keputusan NFA (dikekalkan).
Hasil semakan semula, 132 kertas siasatan telah mendapat keberhasilan hasil kajian semula oleh PPO SPRM. – UTUSAN










