PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki memandu secara melulu dan berbahaya di sekitar ibu negara tidak berakhir baik apabila pihak berkuasa berjaya menahan lelaki tersebut baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, penahanan itu dibuat susulan penularan video berdurasi 20 saat di media sosial yang menunjukkan sebuah kenderaan dipandu secara ‘zig-zag’, mengekori rapat kenderaan lain dan menukar haluan secara gopoh tanpa memberi isyarat.
Menurutnya, aksi lelaki yang membawa kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam itu boleh memberi risiko nyawa pengguna lebuh raya lain.
“Sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman segera melakukan risikan dan berjaya menahan dua warga tempatan bagi membantu siasatan,
‘Kenderaan itu turut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Zamzuri, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
‘Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mengancam keselamatan awam dan tindakan tegas akan diambil jika kita dapati ada cubaan melanggar undang-undang,” katanya.-UTUSAN











