PETALING JAYA: Penyanyi, Dayang Nurfaizah menjelaskan rantai perak sedondon yang dipakainya bersama penyanyi Hael Hussaini hanyalah satu kebetulan.
Menurut Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, aksesori tersebut bukanlah eksklusif untuk mereka berdua kerana ramai lagi yang memiliki rantai daripada jenama sama.
“Kebetulan rantai kami sama, jenama pun sama. Bukan kami sahaja yang ada,” katanya semasa sesi temu bual di stesen radio Suria FM, pada Rabu.
Dalam pada itu, Dayang turut meluahkan penghargaan terhadap Hael yang disifatkannya sebagai rakan duet yang serasi serta sahabat yang baik.
Mengulas khabar angin yang tular kononnya mereka telah selamat diijab kabul, Dayang bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut. Sebaliknya, beliau berharap peminat dapat bersabar dan mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Sebagai penyanyi, perkara seperti ini memang tidak dapat dielakkan. Kalau asyik mengelak, kasihan peminat. Bagi saya, doakan yang terbaik.
“Kalau benar dan perkara baik, saya sendiri akan kongsikan dengan peminat. Kepada peminat Dayang, sabar dan tunggu kerana saya akan berkongsi apabila sampai masanya,” katanya.
Terdahulu, timbul spekulasi dalam kalangan peminat mendakwa Hael dan Dayang telah melangsungkan pernikahan secara tertutup pada Disember lalu.
Malah, pasangan penyanyi itu juga pernah dikaitkan dengan khabar angin pertunangan pada awal tahun lalu. Namun, Hael sebelum ini menafikan dakwaan tersebut. -UTUSAN










